Nov 5, 2025

Episod 17: Surat Dari Eropah


Kadang mimpi besar datang dengan harga rindu yang tak semua sanggup bayar... 

Episod 17: Surat Dari Eropah

Pagi itu hujan renyai-renyai di akademi.
Rumput basah, langit kelabu, tapi hati Refza tenang, tenang yang pelik.

Dia baru lepas latihan ringan bila Coach Harun datang dari jauh sambil bawa satu sampul surat warna krim.

Tak besar, tapi tangan jurulatih tu menggigil masa hulur.

“Refza,” katanya perlahan. “Aku tak tahu nak cakap macam mana… tapi ini mungkin surat yang akan ubah hidup kau.”

Budak kampung itu ambil perlahan. Nama dia tertera di depan, dengan logo kelab bola sepak yang cuma dia tengok dalam FIFA, SC Braga, Portugal.

Refza kaku. Mata terbeliak. Mulut separuh terbuka tapi tak ada suara keluar.

Coach tepuk bahunya. “Kelab tu nak kau datang untuk percubaan tiga bulan.”

Tiga bulan di Eropah. Jauh dari Simpang Kerayong, jauh dari mak, jauh dari ayah.

Petang tu, dia duduk diam di padang, surat tu masih digenggam.

Hujan dah berhenti, tapi hatinya masih ribut.

Mak telefon, suaranya lembut macam selalu.

“Mak tahu kau takut. Tapi takut tu tanda kau hidup, Refza. Pergi. Jangan pandang belakang.”

Refza tunduk, tahan sebak. Dia tengok kasut bolanya yang dah lusuh, yang sama dia pakai masa mula masuk akademi.

“Kalau aku pergi, aku janji balik nanti aku bawak sesuatu, mak. Bukan duit, tapi nama.”

Malam itu dia tak tidur. Dia kemas beg kecilnya baju, sejadah, surat ayah, dan sepasang but bola. Itu saja harta dia.

Esoknya di lapangan terbang, Coach Harun datang hantar.

“Kalau kau rasa kesejukan nanti, ingat ni,” katanya sambil letak tangan di dada Refza.

“Api semangat kau ni panasnya sampai Eropah pun tak boleh padamkan.”

Refza senyum. Dia tak pandai ucap terima kasih panjang-panjang. Dia cuma peluk jurulatih tu lama.

Bila kapal terbang mula bergerak, dia pandang keluar tingkap.

Awan putih berarak perlahan. Dan di dalam hati kecilnya, ada suara berbisik,

“Selamat tinggal Malaysia. Budak Kampung Simpang Kerayong nak pergi ke dunia sebenar.”

Bersambung pada Episod 18,
“Langit Lisbon”

Jeff Karim.

No comments:

Post a Comment