Episod 15 (Akhir): Malam Yang Ditunggu London
"Final UEFA Champions League, Arsenal lawan Chelsea. Satu Bandar dua warna."
Refza Rayong – Musim Kedua
Oleh Jeff Karim
Episod 15 (Akhir): Malam Yang Ditunggu London
London malam itu bernafas perlahan.
Langitnya berat, tapi lampu-lampu di sekitar Wembley menyala seperti ribuan nadi yang berdegup serentak.
Final Liga Juara-Juara.
Arsenal lawan Chelsea.
Satu bandar, dua warna, satu sejarah yang masih kosong menunggu nama baru diukir pada piala itu.
Aku berdiri di tengah padang, pandang sekeliling.
Bendera merah putih bergoyang di setiap penjuru Wembley.
Arteta menepuk bahuku perlahan.
“Kau tahu apa maknanya malam ini, kan Refza?”
Aku angguk.
Dalam kepala aku cuma terbayang wajah mak.
Dapur kecil, kipas berhabuk, dan suaranya waktu aku tinggalkan rumah dulu,
“Pergilah, Refza. Jadikan mimpi tu satu kenyataan.”
Wisel kick-off dibunyikan, dan dunia mula berputar.
Chelsea menekan dari awal.
Minit ke-13, Pedro Neto melepaskan rembatan deras, tapi David Raya terbang macam wira purba.
Sorakan Arsenal bergema, tapi aku tahu ini baru permulaan.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Mikel Arteta cuma pesan satu ayat, tenang tapi menusuk dihati.
“Malam ini, siapa berani pegang bola masa semua orang takut, dia akan jadi sejarah.”
Minit ke-78, bola jatuh di depan aku, hasil satu clearance tak yang sempurna dari Moisés Caicedo.
Aku tak sempat fikir.
Satu kawalan, satu langkah kecil, dan aku lepaskan rembatan dari luar kotak penalti.
Bola itu meluncur deras.
Detik itu seperti berhenti.
Robert Sánchez cuba menyelamatkan percubaan itu, tapi bola dah singgah di penjuru kanan gawang Chelsea.
Stadium Emirates yang terletak jauh di utara sana mungkin sedang berpesta dengan sorakan.
Aku tak tahu nak buat apa, aku rebah ke rumput Wembley, pandang ke langit, dan terasa air mata menitis.
Minit ke-97, wisel penamat ditiup pengadil dari Sepanyol.
Arsenal 1, Chelsea 0.
Wembley bertukar menjadi lautan merah.
Kelihatan pemain-pemain Chelsea seperti Cole Palmer, Enzo Fernández dan Estêvão Willian Almeida de Oliveira Gonçalves terbaring kecewa.
Aku sempat singgah di tengah padang, bersalaman dan menepuk bahu mereka sebagai simbolik memupuk semangat kesukanan.
The best team win.
Penyokong Chelsea mula beransur keluar dari "The Home Of Three Lions" yang bersejarah itu.
Arteta datang memeluk aku sekuat hati.
Katanya, “Kau bukan lagi budak dari Braga. Kini kau ialah wira Kota London.”
Dan bila aku naik ke pentas, pegang piala itu, aku tahu malam ini aku bukan sekadar melakar sejarah baru untuk Arsenal.
Tapi untuk semua budak yang pernah memasang impian besar dari tempat sekecil Simpang Kerayong.
Malam itu London menangis bahagia,
dan nama Refza Rayong menjadi legenda yang ditulis di antara bintang dan rumput.
Dan malam itu, di tengah gerimis yang turun perlahan membasahi kota London, sejarah akhirnya berpihak kepada Arsenal.
Refza Rayong, budak kampung yang pernah tidur di bilik sewa sempit Braga.
Kini berdiri megah di pentas Eropah dengan menjulang piala tersohor Eropah.
Membuktikan bahawa sebuah mimpi tidak pernah mengenal asal usul.
Sorakan, silauan cahaya kamera, dan air mata bercampur menjadi satu kenangan yang akan hidup lebih lama daripada usia mana-mana karier bola sepak.
Kerana malam itu bukan sekadar kemenangan Arsenal.
Ia kemenangan seorang manusia terhadap segala keraguan yang pernah membelenggu dirinya sendiri.
Tamat Musim Kedua.
Kisah Refza Rayong belum berakhir.
Kerana setiap legenda tahu, apabila satu bab tertutup, satu lagi pintu sejarah sedang menunggu untuk diketuk.
Jumpa lagi pada musim ketiga Refza Rayong - Lagenda Dari Simpang Kerayong, sebuah novel fiksyen imaginasi Jeff Karim.
Comments
Post a Comment