Nov 5, 2025

Episod 5: Guru Sukan Lama


Ada guru yang datang semula bukan untuk mengajar tapi untuk hidupkan semula semangat yang hampir padam... 

Episod 5: Guru Sukan Lama

Minggu pertama latihan daerah bermula dengan bunyi wisel yang nyaring dan padang berdebu.

Refza berdiri di barisan belakang, tangan di lutut, menunggu giliran.

Kasut barunya kini sudah comot, tapi semangatnya makin bersih, bersinar seperti pagi itu sendiri.

“Nama?” tanya seorang lelaki berkaca mata hitam sambil menulis sesuatu di papan klip.

“Refza Rayong,” jawabnya sopan.

Lelaki itu angkat kepala. Rambutnya diselaputi uban halus, wajahnya keras tapi ada sinar lembut di mata.

Ada sesuatu pada lelaki itu yang membuatkan Refza rasa tenang seolah-olah dia pernah kenal walaupun belum pernah bersua.

“Main posisi apa?” “Sayap kiri, cikgu.”

Lelaki itu ketawa kecil, tapi suaranya garau. “Sayap kiri, ya? Jangan sampai tersangkut macam layang-layang.”

Budak-budak di tepi padang tergelak kecil.

Refza senyum malu, tapi matanya tetap berani.

Cikgu itu lempar bola ke kakinya perlahan.
“Kalau betul sayap, terbanglah.”

Refza tunduk, ambil bola, dan pandang padang di hadapan.

Tiang gol yang jauh nampak kabur dalam silau matahari, tapi dia tahu di situlah arah semua impian bermula.

Dia tolak bola dengan tapak kaki, laju berlari di garisan tepi, elak satu, dua pemain, sentuhan lembut, langkah pantas.

Dan bila dia lepaskan sepakan, bola itu meluncur deras dan menikam jaring dengan bunyi yang menggema dalam senyap padang.

Lelaki itu tersenyum kecil sambil gosok dagu. “Budak ni... bukan layang-layang. Dia helang.”

Namanya Cikgu Harun. Bekas pemain negeri Melaka yang kini mengajar di sekolah daerah.

Sudah lama dia tak jumpa bakat yang bermain bukan untuk sorakan, tapi untuk maruah.

Sejak hari itu, Refza dipanggil setiap petang untuk latihan tambahan.

Cikgu Harun jarang memuji, tapi setiap kali Refza buat silap, dia akan datang dekat dan tepuk bahu perlahan.

“Bangun balik, Refza. Dalam bola sepak, yang jatuh belum kalah. Yang berhenti, tu kalah.”

Ayat itu tertanam dalam hati Refza. Dan malamnya, di dalam bilik sempit di rumah kayu kecil itu, dia tulis di buku nota yang mak belikan dulu:

“Refza Rayong. Tak akan berhenti. Pernah jatuh, tapi tak pernah kalah.”

Sejak hari itu, Cikgu Harun bukan lagi sekadar guru sukan.

Dia jadi kompas. Dia jadi suara di kepala Refza setiap kali dunia seolah-olah cuba menolak ke tepi.

Dari situ, Refza mula faham, kadang, orang yang paling diam itulah yang paling banyak mengubah jalan hidup kita.

Bersambung pada Episod 6,
“Hari Dia Jatuh”

Jeff Karim.

No comments:

Post a Comment