Episod 14: Jalan Ke Eropah
"Hari perlawanan UCL, Arsenal lawan Napoli, lagu tema Champions League dimainkan."
Refza Rayong – Musim Kedua
Oleh Jeff Karim
Episod 14: Jalan Ke Eropah
Bunyi lagu tema Champions League malam itu seakan datang dari mimpi yang pernah aku tulis dalam buku sekolah dulu.
Bila kamera berpusing ke arah kami, aku berdiri di belakang barisan, tapi dalam hati, aku rasa lebih tinggi daripada semua bangunan yang ada di London.
Ini malam pertama aku di pentas Eropah.
Lampu di Emirates terlalu terang, dan sekejap-sekejap aku rasa macam cahaya itu menembus terus ke dada.
Arsenal lawan Napoli, nama besar, rentak deras, dan aku tahu, ini bukan lagi padang latihan Colney.
Ini dunia sebenar, tempat di mana satu kesilapan sentuhan, boleh masuk tajuk utama akhbar esok pagi.
Minit ke-27, bola jatuh di depan aku.
Tak sempat fikir, aku potong ke kiri dan cuba hantaran lintang.
Bola tu singgah di kepala Gabriel Magalhães tapi palang menjadi penghalang.
Separuh stadium mengeluh, tapi di bangku simpanan aku nampak Mikel Arteta berdiri menepuk tangan memberi isyarat ke arahku.
“Good! Keep doing that!” jeritnya dari tepi padang.
Kata-kata itu kecil, tapi cukup untuk memberi aku semangat.
Sepanjang malam, aku tak berhenti berlari.
Ada saat aku rasa nafasku hampir habis, tapi aku teringat Braga, padang latihan kecil di tepi laut, dan jurulatih Mendes yang pernah berkata,
“Keberanian itu bukan bila kau tak takut, tapi bila kau teruskan walaupun takut.”
Bila wisel penamat ditiup, keputusan seri 1–1.
Tak ada gol dari aku, tapi sorakan dari penyokong "The Gunners" berdiri lagi sekali.
Kali ini lebih kuat dan jelas.
Emirates dah mula hafal cara aku berlari, cara aku mengangkat tangan meminta bola.
Dalam bilik persalinan, aku duduk diam.
Peluh di dahiku masih menitis, tapi hatiku rasa sangat ringan kali ini.
Malam ini aku tak hanya bermain bola, aku sedang hidup dalam impian seorang budak dari Simpang Kerayong.
Dan masa aku buka balutan stokin, aku tersenyum sendirian.
Braga dahulu adalah pintu pertamaku.
Tapi malam ini, aku dah melangkah ke jalan besar Eropah.
Pertandingan bola sepak yang paling berprestij di dunia.
Jalan yang setiap pemain muda selalu bayangkan, tetapi tak semua yang berani menempuhnya.
Bersambung pada Episod 15 (Akhir): Malam Yang Ditunggu London
Comments
Post a Comment