Episod 13: Emirates Belajar Namaku
"Hantaran lintang aku hampir disambut Martinelli. Sorakan di Emirates bergema dan irama tepukan kedengaran."
Refza Rayong – Musim Kedua
Oleh Jeff Karim
Episod 13: Emirates Belajar Namaku
Hari itu, aku duduk di bilik persalinan Arsenal sambil pandang kasut yang baru aku ikat.
Nama aku tercetak kecil di tepi but, Refza R. 27, aksara yang aku lihat seperti doa yang akhirnya dikabulkan.
Dalam kepala, aku ulang-ulang pesanan Arteta.
“Main dengan berani. Kalau kau takut, bola pun akan takut datang pada kau.”
Suara penyokong dari luar stadium makin kuat.
Bila aku melangkah ke terowong, dadaku terasa sempit, tetapi langkah kakiku tetap maju ke depan.
Stadium Emirates berdiri macam katedral moden.
Lautan merah putih menunggu, dan bila aku melangkah masuk padang, aku terasa macam bumi bergetar dibawah tapak kasut aku sendiri.
Wisel mula ditiup.
Aku tak fikir apa-apa, cuma mengikut arus permainan yang laju, seperti derasnya air yang tak ada peluang untuk berhenti.
Beberapa kali aku hampir hilang bola.
Tapi sekali, cuma sekali, aku berjaya melepasi dua pemain dan hantaran lintang aku hampir disambut Martinelli.
Sorakan bergema dan irama tepukan kedengaran, bukan sebab gol, tapi sebab percubaan tu datang dari budak yang baru belajar menyebut nama stadium ni.
Minit ke-70, Arteta gantikan aku.
Aku tepuk tangan ke arah penyokong dan tak sangka, seluruh Emirates berdiri memberi penghormatan kepada budak baru ni.
Mereka membalas tepukan aku semula, agak lama dan bernada.
Bukan tepukan yang besar, tapi tepukan yang amat bermakna.
Malam tu, dalam bas balik ke pusat latihan, aku pandang jendela yang basah dek hujan London.
Tak ada gol, tak ada statistik yang luar biasa.
Tapi dalam hati aku tahu, malam tu Emirates dah belajar menyebut namaku.
Dan bila kau dengar namamu mula disebut dalam sorakan, kau tahu diri kau bukan lagi tetamu.
Kau dah jadi sebahagian daripada cerita mereka.
Bersambung pada Episod 14: Jalan Ke Eropah
Comments
Post a Comment