Nov 6, 2025

Episod 4: Orang Kota Tua


"Dia pegang akhbar muka depan, gambar aku meraikan gol minggu lepas, kemudian menoleh ke arahku dan angkat ibu jari."

Refza Rayong – Musim Kedua
Episod 4: Orang Kota Tua

Bas Braga bergerak perlahan meninggalkan bandar ketika matahari baru naik di balik bukit.

Jalan berbatu menuju Guimarães berliku-liku, seakan mahu menguji kesabaran setiap penumpang di dalamnya.

Aku duduk di baris ketiga dari belakang, kepala bersandar di tingkap sejuk.

Di luar, sawah kecil dan rumah batu berselang-seli, semuanya kelihatan seperti lukisan lama yang tenang.

Setiap kali bas membelok, aku teringat jalan tanah di Simpang Kerayong.

Jalan sempit yang dulu aku lalui setiap petang, kadang berkaki ayam, kadang dengan kasut koyak yang mak jahit sendiri.

Dulu, aku pernah berdiri di tepi padang menonton liga tempatan.

Tiket cuma tiga ringgit, tapi masa tu pun aku tak mampu beli.

Aku hanya tengok dari luar pagar dawai, sambil berharap satu hari nanti aku akan ada di tengah padang, bukan di luar menunggu peluang.

Di tempat duduk hadapan, Joao Mendes berbual dengan penolong jurulatih.

Aku nampak dari cermin depan, dia menoleh sekali ke arah aku, senyum, kemudian sambung bercakap perlahan.

Di lorong tengah, seorang pemain senior sedang membaca surat khabar.

Dia pegang gambar muka depan, gambar aku meraikan gol minggu lepas.

Dia menoleh ke arahku dan angkat ibu jari.

Aku balas dengan senyuman, tapi dalam hati, rasa malu bercampur syukur.

Bas berhenti di stesen kecil untuk rehat.

Aku turun perlahan, hirup udara sejuk pagi Portugal yang berbau kopi dan daun zaitun.

Dekat pondok kecil tepi jalan, ada seorang lelaki tua sedang menjual roti dan keju.

Mukanya berkerut tapi matanya hidup, seolah-olah menyimpan seribu kisah yang tak pernah diceritakan.

Dia pandang aku dan tanya dalam bahasa Portugis, “Pemain Braga?”

Aku angguk sambil tersenyum. Dia ketawa, “Main bagus, anak muda. Tapi jangan lupa kampung asal.”

Ayat tu terkena terus di hati aku.

Aku tak tahu kenapa, tapi aku rasa macam dengar suara ayah sendiri bercakap dari jauh.

Aku beli sekeping roti darinya dan duduk di tepi jalan.

Bersambung pada Episod 5: Helaian Merah

No comments:

Post a Comment