Nov 5, 2025

Episod 6: Hari Dia Jatuh


Setiap pemain pernah jatuh tapi hanya yang masih percaya akan bangun semula...

Episod 6: Hari Dia Jatuh

Hari itu, langit di Jasin kelihatan muram.
Awan berat seperti tahu sesuatu yang tidak baik bakal berlaku.

Refza berdiri di tengah padang sekolah, kasutnya berlumur lumpur, bola di kaki terasa seperti batu.

Dia pandang ke sekeliling, kawan-kawan sepasukan gelisah, guru jurulatih di tepi padang hanya diam dengan tangan bersilang di dada.

“Main macam biasa,” katanya ringkas.
Tapi hati Refza tak tenang.

Ini bukan sekadar perlawanan daerah.
Ini kali pertama nama dia disebut-sebut orang kampung sebagai harapan baru Jasin.

Wiselnya ditiup, dan semuanya bermula.
Lima minit pertama, Refza buat hantaran sempurna, tapi tiada siapa sambut.

Sepuluh minit berikutnya, dia cuba rembat jauh, tapi bola hanya singgah di jaring luar.

Sorakan penonton makin perlahan.
Kawan sepasukan mula hilang sabar.

“Apa jadi dengan kau, Refza?” jerit seorang dari belakang.

Dia tak jawab, hanya tunduk.

Bila separuh masa tamat, mereka ketinggalan 0-2.

Refza duduk di tepi padang, pandang kasut koyaknya yang makin uzur.

Peluh menitis ke tanah, tapi bukan peluh yang paling pedih, egonya yang retak.

Dia ingat janji malam dulu di Padang Simpang Kerayong.

Janji nak berjaya, nak bawa nama kampung naik tinggi.

Tapi hari ni, dia rasa macam semua tu hilang sekelip mata.

Separuh masa kedua bermula.
Dia lari tanpa tenaga, tapi mata dia masih menyala.

Bila bola datang, dia cuba sekuat hati.

Satu peluang terakhir dia rembat, bola meliar sedikit, terkena palang.

Sorakan tertahan, dan kemudian… wisel penamat berbunyi.

Jasin kalah. Refza diam.

Kawan-kawan yang lain menangis, tapi dia tak. Dia hanya tunduk, pandang tanah, macam bercakap dengan bumi.

Selepas semua orang balik, dia masih di situ. Hujan turun perlahan, lumpur menyalut kakinya.

“Ayah betul…” bisiknya perlahan.
“Bola ni belum tentu boleh bagi makan. Tapi aku belum habis lagi.”

Dia bangun, langkahnya perlahan tapi penuh tekad.

Kekalahan pertama itu bukan penamat, cuma satu bab dalam buku yang masih panjang.

Dan malam itu, ketika semua orang tidur, Refza Rayong menulis sejarah barunya.

Bukan di papan skor. Tapi di hatinya sendiri.

Bersambung pada Episod 7,
“Surat Tawaran Akademi”

Jeff Karim.

No comments:

Post a Comment