Episod 12: Padang Latihan Colney


"Kapten Ødegaard datang hampiri aku, coach Arteta hanya angkat kening, tapi dalam dunia ini, kening itu lebih menusuk dari suara."

Refza Rayong – Musim Kedua
Oleh Jeff Karim

Episod 12: Padang Latihan Colney

Angin pagi di Colney menyucuk dan sejuk, berbeza jauh dari Braga yang hangat dan lembap.

Rumput di sini macam permaidani, tiada benjol, tiada lopak, tapi keras di bawah, seperti setiap inci tanah ini pun menuntut bukti.

Latihan pertama aku bermula dengan senyap.

Tak ada gurauan, tak ada jerit kosong.

Setiap pemain tahu tempat masing-masing, dan setiap larian terasa seperti ujian.

Aku cuba ikut rentak, tapi tempo di sini laju macam arus Thames.

Satu hantaran lambat, satu sentuhan berat, dan bola pasti akan hilang ke kaki lawan.

Coach Mikel Arteta hanya angkat kening, tapi dalam dunia ni, kening itu lebih menusuk dari suara.

Martin Ødegaard datang hampiri aku masa rehat.

Dia senyum, hulur tangan, “Welcome to Arsenal, brother.”

Aku balas dengan senyum yang separuh yakin, separuh gugup.

Dia tunjukkan rutin kecil, cara pemain sini guna dua sentuhan sebelum pivot, cara mereka buka ruang tanpa perlu jerit.

Di Braga, semuanya spontan. Di sini, semuanya berasaskan sains.

Malam pertama di asrama latihan, aku pandang keluar jendela.

Padang Colney sunyi, tapi lampu limpah masih menyala seperti mengingatkan aku bahawa di sini, kerja tidak akan pernah habis walau hari dah gelap.

Aku teringat Joao Mendes.

Dia pernah kata, “Setiap kali kau naik ke tangga baru, jangan lupa daratan pertama yang buat kau tahu cara berdiri.”

Aku genggam but yang aku bawa dari Braga, lusuh, tapi sarat dengan kenangan.

Di tempat baru ni, aku sedar, aku bukan lagi budak yang cuba masuk kedalam pasukan.

Aku kini sebahagian daripada kelab yang menuntut kemenangan setiap minggu.

Bezanya tempo, bezanya tatacara, dan bezanya harapan.

Tapi satu hal tak pernah berubah, degupan jantung aku setiap kali bola sampai ke kaki seorang Refza Rayong, budak Kampung Simpang Kerayong, 77000 Jasin Melaka.

Bersambung pada Episod 13: Emirates Belajar Namaku

Comments

Popular posts from this blog