Nov 10, 2025

Episod 7: Derby di Hujan Batu


"Skor masih 0-0. Joao Mendes jerit dari tepi, “Refza, stay wide!”
 
Refza Rayong – Musim Kedua
Oleh Jeff Karim

Episod 7: Derby di Hujan Batu

Langit Braga petang itu berwarna kelabu pekat.

Awan tebal tergantung rendah di atas bumbung stadium, dan angin sejuk berhembus membawa bau besi dari hujan yang hampir turun.

Derby Minho, Braga lawan Guimarães.

Hari yang penduduk utara Portugal tunggu setiap musim, dan hari yang setiap pemain tahu, satu silap kecil boleh buat nama mereka dibenci semusim.

Dari bilik persalinan, aku dengar bunyi penyokong macam ombak.

Dentuman genderang, siulan, dan jeritan bercampur jadi satu irama yang buat jantung berdegup laju.

Joao Mendes pandang kami satu-satu.

“Main macam tak ada hari esok,” katanya ringkas, tapi nada dia seperti doa yang penuh makna.

Bila aku melangkah masuk ke padang, titisan hujan pertama jatuh ke pipi.

Rumput licin, udara berat, dan semua orang nampak lebih garang dari biasa.

Minit ke-23, aku kena pijak di buku lali masa merebut bola.

Sakitnya naik sampai ke kepala. Aku baring kejap, tengok langit gelap di atas, dan dengar suara penyokong lawan ketawa.

Fisio datang, tapi aku tolak tangan dia.
Aku bangun sendiri.

“Tak apa,” aku bisik dalam hati. “Kau nak jatuhkan aku, aku bangun lagi tinggi.”

Separuh masa kedua, hujan makin lebat.
Bola macam hidup sendiri, melantun liar dan licin di atas padang yang dah jadi lumpur.

Minit ke-78, skor masih 0-0.

Joao Mendes jerit dari tepi, “Refza, stay wide!”

Aku tarik nafas panjang, lap air hujan dari muka, dan tunggu peluang.

Satu umpanan jauh datang dari tengah, bola melantun dua kali sebelum jatuh betul-betul depan kaki aku.

Seorang bek cuba menekan dari tepi, tapi aku gerakkan bola ke kanan setengah inci cukupkan untuk ruang.

Aku angkat kepala, nampak tiga pemain Guimarães dibaris depan gawang.

Aku tak fikir panjang.

Satu sentuhan, satu bola lintang rendah memotong tiga barisan pertahanan, dan bola sampai ke kaki pemain tengah kami yang terus menyambar.

Gol.

Seluruh stadium senyap beberapa saat sebelum bunyi gegaran bergema.

Aku berdiri di tepi padang, letak jari telunjuk ke bibir.

Bukan sebab nak provokasi, tapi sebab aku nak bagi tahu, diam itu ialah jawapan paling kuat.

Hujan makin lebat, tapi aku rasa hangat.
Mungkin sebab semangat, mungkin sebab terhidu bau kemenangan.

Malam tu Braga menang tipis 1-0.

Dan masa aku duduk dalam bilik persalinan lepas game, aku pandang kasut lumpur aku yang koyak sedikit di hujung.

Aku senyum.

Dan berbisik, dalam hidup ini, kau kena pijak dahulu, barulah kau tahu betapa kuatnya kau bila bangun balik.

Bersambung pada Episod 7: Surat Tanpa Alamat

No comments:

Post a Comment